Antara adab dan juga pantang larang ketika bermain alat muzik tradisional seperti gamelan Melayu ialah DILARANG MELANGKAHNYA. Kenapa?
Sesiapa yang pernah bermain atau cuba mengenali gamelan Melayu mesti pernah mendengar hal ini. Pesanan orang tua-tua 'jangan langkah alat muzik'. Kenapa agaknya?
Pada zaman lampau iaitu zaman ketika keris dibawa seperti iPhone, perkara seperti hantu tinggi, ilmu kebal, saka, toyol, penanggal, bunian adalah perkara biasa, dan menjadi sebahagian atau 'mainan' orang-orang Melayu. Barang-barang pusaka seperti barang kemas, bahkan rumah sering dikaitkan dengan penunggu yang mendiaminya. Alat muzik juga tidak terkecuali.
Alat-alat muzik bukan sahaja dipelihara dengan baik, bahkan mempunyai tatacara dan pantang larangnya ketika upacara sebelum persembahan (buka panggung) dan membersihkan alat tersebut. Setiap alat mempunyai semangatnya yang tertentu, atau 'dibenarkan' untuk didiami dan dijaga. Antara alat itu berpenunggu atau tuan punya alat yang ada saka atau tempat itu berpenunggu... Bergantung dengan apa yang kita nak percaya.
Dalam buaian kemistikan tersebut, hakikatnya perkara melangkah itu adalah sebahagian daripada cerminan adab dan budaya Melayu. Kita sering diingatkan oleh orang tua supaya jangan melangkah buku. Kenapa?
Bukan kerana buku tersebut adalah buku semata-mata, tetapi apa yang mengisi buku tersebut. Buku itu adalah medium kepada penyampaian ilmu; ilmu yang akan kita pakai kepada diri dan diamalkan. Sekiranya buku dilangkah, maka adab menjadi biadab. Sebab itu adab berguru dipandang tinggi, tidak kiralah dalam bidang apa pun, baik ilmu agama, persilatan ataupun kesenian.
Gamelan Melayu yang melahirkan bunyian indah dan mengasyikkan itu adalah seperti buku, sebagai medium kepada ilmu yang didapati. Melangkah alat muzik itu sendiri sudah melanggar adab dalam berhadapan atau bermain gamelan. Jadi, seruan 'jangan langkah alat muzik' itu perlu dilihat dalam konteks yang bersendikan syarak, mengatasi isu berkenaan ada 'semangat' di dalamnya.